Anwar Tempelak Pengkritik: “Waktu RM Lemah Riuh, Waktu Kukuh Senyap”

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang sering mengkritik prestasi ringgit ketika ia lemah, tetapi membisu apabila nilai mata wang negara kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini, Anwar menegaskan bahawa kestabilan ringgit bukan semata-mata hasil dasar domestik, tetapi turut dipengaruhi sentimen dan keadaan ekonomi global.

“Bila ringgit jatuh, riuh satu negara, kata Perdana Menteri gagal, suruh letak jawatan. Tapi bila ringgit naik semula, senyap sunyi. Itu logik yang tidak masuk akal,” katanya.

Dalam masa yang sama Anwar turut menekankan pentingnya untuk terus konsisten dengan dasar ekonomi yang dirangka kerajaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan bahawa ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak 2023.

Pada 18 Jun 2025, ringgit ditutup pada RM4.25 berbanding dolar AS – peningkatan 5.2 peratus setakat ini tahun ini.

Lebih menarik, ringgit turut mengatasi prestasi mata wang utama serantau lain – naik 6.3% berbanding rupiah Indonesia; naik 3.6% berbanding renminbi China; naik 3.2% berbanding peso Filipina; naik 0.6% berbanding dolar Australia dan naik 0.1% berbanding baht Thailand.

“Angka ini bukan kerja Menteri Kewangan sahaja, ia hasil usaha Bank Negara, Perbendaharaan dan semua agensi yang terlibat dalam mengurus ekonomi negara,” ujar beliau.
Walaupun prestasi semasa menunjukkan trend positif, Anwar mengingatkan bahawa kestabilan ringgit masih berisiko jika konflik geopolitik seperti ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak.

Katanya, sentimen pelabur global boleh berubah dengan cepat mengikut situasi luar jangka dan ini akan memberi kesan langsung kepada ringgit.

“Kita harap pengukuhan ini berkekalan, tetapi jika perang meletus, ringgit tetap terjejas. Oleh itu, pengurusan ekonomi domestik mesti kukuh untuk menampan kesan luar,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles