Saksi Sahkan Darah Dalam Bilik Milik Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR: Kesan darah yang ditemui di sebuah bilik di rumah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin disahkan milik kanak-kanak autistik itu, demikian dimaklumkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Perkara itu disahkan oleh saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Dr Syahliza Warnoh dalam prosiding perbicaraan kes hari ini.

Menurut Mohd Hafizee, yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pengesahan dibuat selepas Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan padanan DNA darah dengan spesimen tulang sternum milik Zayn Rayyan.

“Darah dalam bilik air itu milik tertuduh pertama (Zaim Ikhwan), manakala darah dalam bilik berkenaan adalah milik si mati (Zayn Rayyan). Ini berpadanan dengan laporan kimia yang dikeluarkan ahli kimia, Nor Aidora Saedon,” katanya.

Semalam, Mohd Hafizee dalam keterangannya turut memaklumkan bahawa terdapat kesan darah di bilik dan bilik air rumah Zayn Rayyan di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hasil ujian luminol yang dijalankan pasukan forensik.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan pengambilan sampel tanah berhampiran lokasi penemuan mayat untuk dihantar ke Jabatan Kimia, setelah menemui sepasang kasut hitam berlumpur berhampiran peti sejuk dalam rumah mangsa.

Namun, menurutnya, ujian terhadap sampel tanah itu menunjukkan keputusan negatif kerana tanah dari lokasi kasut dan lokasi penemuan mayat berasal dari dua sumber yang berbeza.

Prosiding dijadualkan bersambung pagi esok.

Terdahulu, pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira – masing-masing berusia 29 tahun – mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada leher dan badan mangsa yang dipercayai akibat mempertahankan diri daripada serangan.

BBerkaitan

Latest articles