KUALA LUMPUR: Satu inisiatif baharu bagi memupuk perkembangan awal kanak-kanak serta mengukuhkan hubungan komuniti bakal direalisasikan menerusi penubuhan Perpustakaan Mainan Komuniti di UTC Sentul, Kuala Lumpur.
Langkah ini adalah hasil kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sentul Raya Sdn Bhd, Toy Libraries Malaysia, dan Yayasan YTL. Usaha murni ini dimeterai menerusi Perjanjian Tindakan (AOA) yang ditandatangani pada 10 April lalu di Menara DBKL.
Majlis menandatangani AOA itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg Dato’ Seri TPr (Dr) Maimunah binti Mohd Sharif; Naib Presiden Toy Libraries Malaysia, Dr Raihan Mohamed; Pemegang Amanah Yayasan YTL, Dato’ Yeoh Soo Min; dan Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn Bhd, Dato’ Hamidah binti Maktar.
Perpustakaan Mainan ini dijangka menjadi ruang inklusif di mana kanak-kanak dari pelbagai latar belakang boleh bermain, belajar dan berkembang bersama. Ia juga akan menampilkan pelbagai jenis mainan pendidikan, buku dan bahan pembelajaran kreatif bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 12 tahun. Turut dirancang ialah sesi permainan berkala, bengkel untuk ibu bapa serta aktiviti penceritaan.
YBhg Dato’ Seri Maimunah berkata, “Saya amat gembira dengan inisiatif Perpustakaan Mainan Sentul ini. Bermain adalah asas penting kepada pembelajaran dan setiap kanak-kanak berhak untuk meneroka, membina imaginasi serta berkembang menerusinya. Kerjasama ini adalah satu langkah penting ke arah membentuk sebuah bandar yang lebih penyayang dan inklusif.”
Presiden Toy Libraries Malaysia, Datin Wong Poai Hong, menambah, “Bermain adalah hak asas setiap kanak-kanak. Dengan perpustakaan mainan ini, kita mewujudkan persekitaran yang selamat dan merangsang rasa ingin tahu, imaginasi serta interaksi sosial.”
Sementara itu, Pengarah Program Yayasan YTL, Dato’ Kathleen Chew berkata, “Kami percaya bahawa permainan mampu memperkaya kehidupan kanak-kanak serta merapatkan hubungan dalam komuniti. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.”
Perpustakaan ini dijangka dibuka kepada umum pada suku tahun hadapan dan merupakan contoh kerjasama erat antara sektor awam, swasta serta bukan berasaskan keuntungan dalam usaha membina masyarakat yang berdaya tahan dan penyayang.
*Untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan YTL, sila layari www.ytlfoundation.org.*