KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa sebahagian pelajar sekolah kini menjadikan tandas sebagai lokasi rahsia untuk melepaskan ketagihan vape dan rokok, meskipun larangan keras telah dikuatkuasakan oleh pihak sekolah.
Pendedahan itu dibuat oleh Pegawai Pendidikan CAP yang juga aktivis anti rokok, NV Subbarow, susulan pelaksanaan program kesedaran bahaya vape dan rokok elektronik yang dijalankan baru-baru ini.
Menurut Subbarow, program itu membongkar hakikat membimbangkan apabila ramai pelajar, tanpa disedari, telah terjebak dalam ketagihan terhadap produk tembakau dipanaskan (HTP).
“Walaupun sekolah telah melarang keras pelajar membawa masuk vape dan rokok, ramai yang masih berjaya menyeludup masuk bahan itu. Apa yang lebih membimbangkan, tandas sekolah kini menjadi tempat utama pelajar merokok atau menghisap vape secara sembunyi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, situasi ini bukan sahaja mengganggu suasana pembelajaran, malah memberi kesan buruk kepada disiplin dan kesihatan pelajar.
“Guru-guru turut melaporkan peningkatan dalam masalah disiplin serta masalah kesihatan dalam kalangan pelajar, semuanya berpunca daripada ketagihan terhadap vape dan rokok,” ujarnya.
Tambah beliau, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak memadai untuk membendung isu ini, sebaliknya langkah lebih menyeluruh perlu dilaksanakan termasuk menghentikan penjualan vape di pasaran.
“Kami percaya masalah pelajar menghisap vape di sekolah boleh dikurangkan dengan lebih berkesan jika penjualan vape dihentikan secara total. CAP juga kini sedang menjalankan sesi kaunseling khas bagi membantu pelajar memahami bahaya produk tembakau dan vape,” tambahnya.
Pendedahan itu dibuat susulan laporan media semalam mengenai insiden seorang pelajar tingkatan tiga di Kangar, Perlis yang diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape semasa waktu peperiksaan.
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, pelajar terbabit dipercayai keluar kelas tanpa kebenaran bersama dua rakan pada jam 9.30 pagi, sebelum dilihat dipapah masuk ke kelas dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut berbuih.