KUALA LUMPUR: Polemik penempatan baru bagi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman masih belum berakhir, apabila hari ini Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melontarkan pandangannya yang tidak bersetuju supaya masjid dan kuil dibina secara bersebelahan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr. Maza mengimbau kembali ketegangan kaum dan agama yang berlaku di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998 dahulu, akibat pembinaan sebuah kuil bersebelahan dengan masjid.
“Dahulu, ketegangan Kampung Rawa berpunca dari kuil yang dibina bersebelahan masjid sehingga mencetuskan kekacauan dan pergaduhan antara agama.
“Jangan cuba cadangkan satu penyelesaian yang bakal membawa ketegangan bahkan kemusnahan yang tidak akan berkesudahan,” katanya.
Menyorot sejarah pada ketika itu, insiden pergaduhan terjadi di antara satu kumpulan dari sebuah masjid dan satu kumpulan dari kuil Hindu Raja-Raja Maduraiveeran yang terletak bersebelahan di Jalan Patani, Jelutong, Pulau Pinang.
Dua hari lalu, kedua-dua pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India dan kerajaan bersetuju untuk menempatkan rumah ibadat berkenaan ke lokasi baharu yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal.
Polemik pembinaan kuil itu tercetus selepas pihak pengurusan enggan berpindah daripada tapak itu yang kini menjadi milik Kumpulan Jakel (Jakel) yang merancang untuk membina sebuah masjid.
Ia juga menjadi hangat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid MADANI di tanah wakaf milik Jakel itu hari ini.