KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari individu yang bertindak menghantar mayat bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat ke Pusat Perlindungan Bayi KPJ Pahang, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima laporan daripada seorang jururawat hospital swasta berkenaan pada semalam.
Terdahulu pengadu menerima bayi perempuan yang sudah tidak bernyawa setelah mendengar penggera berbunyi pada jam 2.45 petang.
”Pengadu sedang bekerja di bahagian kecemasan KPJ Pahang telah mendengar alarm berbunyi di Baby Hatch yang menandakan terdapat seseorang meletakkan bayi di situ.
”Jururawat bersama rakan setugas terus turun dari tingkat 1 ke tingkat bawah dan dapati seorang bayi diletakkan di atas katil.
”Petugas yang juga pengadu melihat keadaan bayi yang tidak bergerak dan tiada tanda-tanda masih hidup,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Wan Zahari berkata jururawat berkenaan membawa bayi tersebut ke bahagian kecemasan dan terus diperiksa oleh pegawai perubatan yang sedang bertugas.
Proses resussitasi dan prosedur kecemasan selama 20 minit telah diberikan kepada mangsa namun ia gagal menyelamatkan bayi perempuan itu.
Pengadu yang sudah 10 tahun berhidmat di hospital swasta itu tampil ke balai polis buat laporan inisiden berkenaan untuk tindakan polis selanjutnya.
Wan Zahari berkata kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasi di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana suspek telah meninggalkan bayi di Baby Hatch KPJ Pahang dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran.
Mayat bayi dihantar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan bedah siasat.
”Proses bedah siasat dijalankan pada hari ini. Kes telah disalurkan kepada Unit Risikan Jenayah (URJ) untuk dapatkan maklumat bagi mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya.