Video ‘Vijayan Savarinathan’ Hina Islam Sedang Disiasat

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video yang dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’, dipercayai mengandungi kata-kata kesat yang menghina penganut Islam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang individu di Balai Polis Manchis, Pahang, pada petang semalam.

“Polis menerima laporan berhubung klip video berdurasi tiga minit 49 saat yang mengandungi unsur penghinaan terhadap penganut Islam. Semakan mendapati video itu dimuat naik pada 5 Mac lalu sebelum dipadam susulan kecaman orang ramai,” katanya.

Susulan itu, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam. Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat, dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Terdahulu, Razarudin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama dan bangsa, terutama di media sosial.

“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu 3R (agama, kaum, dan institusi diraja),” tegasnya.

Video berkenaan dipercayai dimuat naik susulan kontroversi melibatkan penyampai radio yang sebelum ini didakwa menghina agama Hindu.

BBerkaitan

Latest articles