Menteri Perpaduan Beri Amaran Keras Individu Sebar Kenyataan Hina, Persenda Agama

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memberi amaran keras kepada segelintir individu agar tidak menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama di platform media sosial.

Ia termasuk individu yang dikenali sebagai Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sanmugom dan pengguna media sosial TikTok, Crime_Man.

Beliau berkata tindakan provokatif yang tidak menghormati perasaan agama dan kaum lain boleh merosakkan keharmonian negara.

“Setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa ruang maya digunakan dengan bijak dan tidak menimbulkan perpecahan atau ketegangan dalam masyarakat.

“Tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian susulan tindakan segelintir netizen yang menyebarkan kenyataan berkaitan isu 3R (Kaum, Agama dan Raja) di platform media sosial.

Aaron berkata kementeriannya akan terus melaksanakan Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integrasi nasional Faham, Hormat dan Terima melalui pelbagai program bagi mendidik rakyat Malaysia supaya menghormati agama dan budaya penganut lain.

Dalam pada itu beliau memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan tidak bertanggungjawab ini.

“Tindakan tegas melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu diambil untuk memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles