KUALA LUMPUR: Seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual dua lelaki warga Nepal di Taman Bukit Subang, Seksyen U16, di sini, pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya berjaya menangkap dua suspek berusia 38 dan 44 tahun itu atas bantuan orang awam.
Terdahulu mangsa yang juga berbangsa India membuat laporan yang mendakwa diganggu oleh lelaki tidak dikenali di kawasan bawah blok Pangsapuri Melati.
“Ketika kejadian kira-kira jam 6.04 petang, seorang lelaki warga Nepal telah memanggil mangsa sambil memasukkan tangannya ke dalam seluar dan membuat isyarat lucah ke arahnya.
“Mangsa yang ketakutan kemudian bergegas pulang ke rumahnya, namun lelaki berkenaan bersama seorang rakannya yang juga warga Nepal, mengekorinya hingga ke hadapan pintu rumah.
“Kedua-dua suspek kemudian bertindak agresif dengan memegang pintu grill rumah mangsa sambil memanggilnya keluar. Mangsa yang berasa terancam segera menghubungi abang saudaranya untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta tidak bekerja.
Katanya, mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah dan kini ditahan reman selama 14 hari di lokap Shah Alam bermula 27 Februari sehingga 12 Mac ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan niat untuk mengaibkan kehormatan seseorang, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta boleh dikenakan sehingga enam sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mohd Iqbal turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Ayu Asliza Othman di talian 019-399 4871.