Sita RM177 Juta: Ismail Sabri Suspek, Dipanggil Ke SPRM Pada Rabu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suspek dalam kes sitaan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas bernilai RM7 juta.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan perkembangan itu menerusi sidang media, hari ini.

Azam menambah empat bekas pegawai Ismail Sabri yang sebelum ini ditahan dipercayai berperanan sebagai pembantu beliau dalam kes tersebut.

“Beliau (Ismail Sabri) merupakan suspek kerana disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 berkaitan pengisytiharan harta. Selain itu, wang yang ditemui turut mengaitkan beliau, jadi kita perlu mendapatkan penjelasannya,” katanya.

Sehubungan itu SPRM akan memanggil semula Ismail Sabri untuk memberikan keterangan pada Rabu ini, bergantung kepada keadaan kesihatannya.

Setakat ini, seramai 31 saksi telah dirakam percakapan, dengan lapan lagi dijangka dipanggil minggu depan.

Sementara itu Azam juga memaklumkan SPRM turut membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta yang melibatkan semua suspek, namun akaun bank milik Ismail Sabri dan Yayasan Keluarga Malaysia tidak terlibat dalam pembekuan tersebut.

Ismail Sabri sebelum ini telah diarahkan untuk mengisytiharkan hartanya di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember lalu, dan beliau telah membuat pengisytiharan rasmi pada 10 Februari.

Pada 19 Februari, Ahli Parlimen Bera itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Siasatan masih dijalankan, dan SPRM dijangka merekodkan keterangan beberapa lagi individu termasuk ahli politik dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles