KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan warga China, Kun Gao, didakwa memberi keterangan yang bercanggah mengenai harga penjualan jam mewah Philippe Patek miliknya.
Ketika sesi pemeriksaan balas pagi tadi, peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyoal mengenai sumber wang RM700 ribu yang didakwa diambil oleh pegawai SPRM ketika serbuan dibuat di rumahnya – sama ada ia bersumberkan penjualan jam mewah miliknya atau hasil daripada akiviti haram.
Gao, yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1), memaklumkan wang itu bersumberkan penjualan jam mewah Philippe Patek model 6102R miliknya yang bernilai lebih RM2 juta.
Bagaimanapun, Dzulkifli berkata keterangan saksi berhubung harga jualan jam itu berbeza ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff dengan keterangan dalam pemeriksaan balas hari ini.
Katanya, ketika disoal balas oleh peguam Azizzul pada prosiding terdahulu, saksi memaklumkan harga jualan jam tersebut adalah RM600 ribu namun pada sesi pemeriksaan balas olehnya hari ini keterangan bertukar kepada RM2 juta.
Dzulkifli: Gao, saya katakan kepada kamu, keterangan kamu berkenaan duit RM700 ribu ini adalah dari penjualan Philippe Patek adalah tidak benar dan kamu berbohong kepada mahkamah hari ini?
Gao: Tidak setuju
Dzulkifli: Kamu juga berbohong di mahkamah tentang harga penjualan jam tersebut.
Gao: Tidak Setuju
Dzulkifli: Saya katakan kepada kamu juga bahawa kamu telah memberi keterangan berbeza mengenai penjualan Philippe Patek pada peringkat pertama dengan harga RM600 ribu dan ketika disoal oleh saya hari ini kamu katakan harga adalah RM2 juta.
Gao: Tidak setuju
Dzulkifli dalam pemeriksaan balasnya juga mendakwa pihak polis tidak bertanya kepada Gao mengenai penjualan jam tangan itu ketika dirakam percakapan.
Dzulkifli: Saya katakan kepada kamu bahawa polis tidak tanya pun sumber RM700 ribu yang kamu katakan diambil (oleh pegawai SPRM) di rumah kamu?
Gao: Tidak setuju
Dzulkifli: Saya katakan kepada kamu bahawa kamu tidak menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan penjualan jam tangan ini.
Gao: Setuju
Dzulkifli: Saya katakan polis tidak minta dokumen itu kerana kamu tidak ditanya mengenai penjualan jam ini.
Gao: Tidak setuju
Dzulkifli: Saya katakan dalam keterangan ini kamu tidak menyatakan mengenai penjualan jam Philippe Patek ini.
Gao: Dalam kenyataan bertulis saya tidak menyatakan mengenai penjualan tapi saya ada maklumkan kepada polis.
Pihak pembelaan kemudian membuat permohonan di bawah Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas saksi dengan merujuk keterangan saksi yang tidak konsisten dalam siasatan kes itu ketika disoal balas dan keterangan bertulis pada laporan polis.
Bagaimanapun, Hakim, Izralizam Sanusi menolak permohonan itu dan berkata memadai pihak pembelaan untuk menghujahkan perkara itu.
Mengikut pertuduhan, pada 13 Disember 2023, dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi sama, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, atas satu pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China, hampir RM1 juta di sebuah residensi mewah.
Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33, Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41, dan Azwan Asli, 38, didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690, Yuan 1,225, satu bagasi warna perak dan satu beg jenama Louis Vuitton (LV) warna hitam.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Jalan Ampang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 10 Disember 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.