KUALA LUMPUR: Seorang wanita dikenali sebagai ‘Ika’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini, atas pertuduhan menipu Afreena Suhaimi iaitu isteri pelawak, Along Cham, membabitkan jumlah RM105,380 berhubung penahanan kes dadah lelaki itu.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa menipu Afreena, 33, dengan memperdaya mangsa untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan dikenakan ke atas Along Cham atau nama sebenarnya, Muhamad Nizamudin Ahmad berhubung kes dadah dihadapinya.
Perbuatan itu mendorong mangsa membayar wang berjumlah RM105,380 kepada tertuduh melalui 26 transaksi kepada lima akaun bank berbeza, yang mana mangsa tidak berbuat begitu jika tidak diperdayakan sedemikian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15 di sini, pada jam 6.06 petang 22 Disember tahun lalu hingga jam 1.24 petang pada 14 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai peniaga berpendapatan RM1,000 selain mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nurdiyanah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang RM95,180.
Afreena dilapor berkata, wang itu diserahkan untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan dan mengurangkan hukuman mahkamah berhubung kes dadah.
Susulan laporan diterima, polis menahan suami isteri berusia 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari lalu.
Suspek wanita yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.