KUALA LUMPUR: Seorang guru pendidikan khas memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, Zayn Rayyan Abdul Matin sebagai kanak-kanak autisme yang pasif, tidak begitu aktif dan senang diurus.
Saksi Pendakwaan ke sembilan (SP9), Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, memberitahu anak muridnya itu berada dalam `dunia tersendiri’ dan tidak banyak kerenah.
Siti Aminah berkatan, anak sulung pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf itu tidak pernah menyakiti kanak-kanak lain ketika dalam kelas.
“Sepanjang di sekolah, Zayn tidak pernah tunjukkan sikap aktif seperti berlari-lari, ketuk dinding, gigit atau pukul kawan lain.
“Dia akan duduk dekat satu sudut dalam kelas dan jika ingin sesuatu atau makanan, dia tidak terus mengambil sebaliknya dia akan pegang tangan saya dan bawa saya pada makanan itu.
“Dia ada `dunia tersendiri’, kita tidak tahu apa dia fikir. Kalau murid lain mengajaknya bermain, baru dia akan bermain manakala di luar kelas dia suka bermain gelongsor dan buaian,” ujar guru berkenaan.
Menceritakan pada hari kejadian kehilangannya (5 Disember 2023), saksi berkata, Ismanira tiba sedikit lewat daripada menjemput Zayn iaitu kira-kira pukul 12.05 tengah hari.
“Sebelum ini, Puan Isma tiba awal dan terus ke pintu pagar sekolah untuk menunggu anaknya.
“Sejak Mac 2023 hingga Disember 2023, saya hanya berurusan dengan ibu Zayn dan sepanjang pengetahuan saya, dia yang menjemput kanak-kanak itu,” ujarnya.
Wanita itu memaklumkan perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Haresh Mahadevan, saksi bersetuju bahawa perwatakan kanak-kanak autisme berbeza-beza berdasarkan persekitaran.
Siti Aminah juga bersetuju bahawa keterangan beliau menjurus kepada persekitaran di sekolah kerana ketika itu kanak-kanak tersebut didampingi guru dan rakan sekelas.
Katanya, ibu Zayn Rayyan menghantar dan menjemput kanak-kanak itu dari sekolah hampir setiap hari dan tanpa gagal menyediakan makanan untuknya, yang dimasak di rumah.
Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), Zaim dan Ismanira didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di PJU Damansara Damai antara tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mereka boleh didenda hingga RM50,000, penjara 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023. Mayatnya ditemukan di sungai berhampiran Apartment Idaman pada hari berikutnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh diteruskan.