KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Johor Bahru menetapkan 25 Februari ini sebagai tarikh bagi mendengar permohonan seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, untuk menangguhkan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mencederakan bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin @ Sylvester, 47, sehingga koma.
Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Katar selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Siti Fatimah Yahya, serta peguam Rosmaini, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin.
Rosmaini, 42, memohon agar hukuman penjaranya ditangguhkan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam hujahnya, peguam Kamal Hisham menyatakan terdapat keadaan istimewa yang wajar dipertimbangkan bagi membolehkan penggantungan hukuman diberikan.
“Ini adalah kesalahan pertama pemohon, selain terdapat isu undang-undang rumit yang melibatkan percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis oleh saksi pendakwaan. Selain itu, tiada saksi mata yang melihat bagaimana mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu dengan menyatakan bahawa hujahan peguam pemohon tidak mewajarkan pertimbangan khas oleh mahkamah.
“Kes ini telah mencetuskan kegusaran dalam masyarakat. Mangsa melahirkan bayinya dalam keadaan koma dan sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan parah.
“Jika mahkamah mempertimbangkan bahawa ini hanya kesalahan pertama pemohon tanpa mengambil kira keseriusan kes ini, ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman,” hujah Juanita.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.