Garis Panduan Umat Islam Akan Beri Kesan Kepada Wakil Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membangkitkan persoalan bagaimana garis panduan baharu yang sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dilaksanakan kelak.

Sehubungan itu beliau berhasrat bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Syahredzan juga khuatir kemungkinan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam yang antara lain akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang diundang ke majlis di rumah ibadat bukan Islam.

“Wakil rakyat Islam yang menghadiri acara ini jelas bukan untuk beribadah tetapi menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada pengundi kami,” katanya di Instagram.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Mohd Na’im menjelaskan bahawa garis panduan tersebut menetapkan bahawa penglibatan umat Islam dalam perayaan bukan Islam mestilah tidak melibatkan elemen yang boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat Islam.

Antaranya, premis yang digunakan untuk majlis sambutan tidak boleh memaparkan simbol keagamaan bukan Islam.

Selain itu, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam sekiranya majlis melibatkan pemimpin atau individu Muslim.

Garis panduan yang diberi nama Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam ini dijadualkan untuk dimuktamadkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.

Dalam kenyataan malam tadi, Mohd. Na’im turut memaklumkan bahawa cadangan garis panduan berkaitan penglibatan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti.

BBerkaitan

Latest articles