KUALA LUMPUR: Pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menderhaka terhadap institusi diraja adalah satu fitnah jahat dan tidak berasas.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menegaskan bahawa Anwar telah menjawab secara terperinci berkenaan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Mohd Shahar, titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.
“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BackBenchers) pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mohd Shahar mendakwa bahawa pembangkang menggunakan taktik lama dengan memanipulasi fakta untuk mengelirukan rakyat serta memainkan sentimen berkaitan institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.
Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Mengulas dakwaan bahawa pelabur enggan masuk ke negara ini kerana isu penderhakaan, Shahar menegaskan bahawa tuduhan itu tidak berasas, kerana keputusan pelaburan lebih bergantung kepada dasar kerajaan dan keadaan ekonomi, bukannya propaganda politik.
“Tuduhan sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik, tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Shahar juga menggesa Ketua Pembangkang agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik.
Beliau menambah bahawa Perdana Menteri sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja sepanjang pentadbirannya serta berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
“Segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara. Oleh itu, kami menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.
Semalam, suasana Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin membangkitkan isu berkaitan titah adendum serta mendakwa wujud penderhakaan terhadap institusi diraja.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudian memutuskan untuk melarang sebarang perbahasan mengenai isu tersebut dalam sidang Parlimen kali ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2), selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan perkara itu.
Selain itu, beliau turut melarang penggunaan perkataan “derhaka” dalam perbahasan berkaitan isu titah berkenaan, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).