Seorang Maut, Empat Lagi Masih Hilang Dalam Tragedi Tanah Runtuh di Miri

MIRI: Seorang remaja lelaki disahkan maut selepas kejadian tanah runtuh menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, mayat mangsa ditemukan pada jam 6.17 pagi, manakala dua lagi mangsa —seorang remaja perempuan dan seorang Wanita ditemukan selamat di bawah runtuhan pada jam 4.55 pagi.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih giat mencari empat lagi mangsa yang dilaporkan hilang, terdiri daripada dua wanita dewasa berusia 41 dan 71 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 12 tahun.

Tragedi itu melibatkan dua rumah yang dihuni seramai 12 orang.

Berikutan insiden ini, seramai 273 penduduk dari 32 rumah di kampung tersebut telah diarahkan berpindah setelah runtuhan tebing Bukit Kanada menjejaskan kediaman mereka.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Kampung Lereng Bukit pernah dilanda insiden tanah runtuh sebelum ini.

Pada 16 Januari 2009, dua pekerja stesen minyak maut selepas tertimbus dalam runtuhan yang turut meranapkan stesen minyak tersebut.

Manakala, pada 23 Januari 2014, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berdekatan, menyebabkan 16 penghuni terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles