KUALA LUMPUR: Tindakan untuk menggantikan Menteri Kewangan II pada tahun 2016, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dengan Datuk Seri Johari Abdul Ghani adalah atas dasar pengalaman dan kepakaran dalam bidang korporat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau mahu meminggirkan Ahmad Husni pada ketika itu.
Najib yang membela diri terhadap tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan beliau mahu Johari mengambil alih jawatan berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah hutang syarikat pelaburan strategik negara itu.
Najib menyifatkan Johari sebagai figura korporat.
Johari, kini menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi.
Menurutnya, Ahmad Husni agak lama berada dalam satu portfolio dan beliau tidak mahu orang menganggap ia adalah hak untuk berada dalam kementerian yang sama sepanjang masa.
Najib berkata beliau memutuskan untuk memindahkan Ahmad Husni kerana mahu menggantikannya dengan Johari.
Beliau berkata, Johari adalah seorang tokoh korporat yang terkenal dengan pengalaman luas dalam sektor korporat, berbeza dengan Ahmad Husni yang berasal dari industri perbankan.
“Saya sedar bahawa Johari Ghani, sebagai seorang tokoh korporat yang sangat berpengalaman, telah terlibat dalam penstrukturan semula syarikat, membantu memulihkan syarikat, dan memiliki pengalaman mendalam dalam bidang korporat, jauh melebihi Ahmad Husni.
“Dengan mengambil kira isu berkaitan 1MDB, saya melihat Johari sebagai pilihan yang logik kerana kepakaran dan pengalamannya.
“Beliau mampu memainkan peranan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB, yang pada saya adalah perkara paling penting untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB dengan segera,” katanya.
Najib menekankan bahawa individu yang diperlukan dalam situasi ini adalah seseorang dengan pengalaman luas dalam pemulihan syarikat, seperti Johari, yang memiliki kelebihan tersebut berbanding Ahmad Husni.
Apabila ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada Johari “lebih mudah dipengaruhi” berbanding Ahmad Husni, Najib ketawa sebelum menjawab, “Jika anda mengenali kedua-dua watak ini, saya boleh katakan Johari Ghani jauh lebih sukar untuk dipengaruhi.”
Najib turut mengingatkan bahawa Johari kini adalah Ketua Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB (Pemulihan Aset), menunjukkan bahawa beliau masih terlibat secara aktif dalam pemulihan hutang 1MDB.
Menurutnya, penglibatan berterusan Johari dalam usaha pemulihan tersebut membuktikan kepakaran beliau yang diiktiraf oleh kerajaan semasa.