KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam 15 bulan, penduduk Palestin dapat tidur nyenyak tanpa risaukan serangan bom atau artileri tentera Israel menghujani rumah atau khemah mereka tanpa dijangka.
Pada awal pagi Ahad, masih terdapat kebimbangan dan ketidakpastian akibat kelewatan pelaksanaan gencatan senjata.
Namun, pada jam 11.30 pagi semalam, apabila gencatan senjata dikuatkuasakan, perasaan lega menyelubungi semua orang dengan jeda yang sangat diperlukan daripada keganasan yang berlarutan.
Walaupun diuliti kebimbangan, sejak pagi semalam orang ramai mula meraikan, merasa kegembiraan, dan menyambut kedamaian yang sudah lama dinantikan.
Mereka meninggalkan tapak-tapak khemah mereka untuk kembali ke kawasan kediaman lama, memeriksa rumah mereka dan cuba membina semula kehidupan.
Namun, ramai yang tidak menemukan apa-apa di tapak yang sebelum ini menempatkan rumah mereka kerana hampir kesemuanya musnah sama sekali akibat serangan tanpa henti Israel selama 15 bulan sehingga keseluruhan Gaza menjadi timbunan runtuhan.
Selama 15 bulan perang, rakyat tidak diberi sebarang jeda kecuali seminggu dalam gencatan senjata sementara pada Disember 2023.
Itulah satu-satunya minggu di mana mereka dapat tidur tanpa mendengar dengungan dron dan kini, suasana sunyi serta dan damai di Gaza terasa begitu aneh dan luar biasa bagi kebanyakan penduduknya.
Di Baytunya, wilayah Palestin, bunyi mercun dan bunga api menggantikan dentuman bom apabila dua bas membawa tahanan Palestin yang dibebaskan menerusi perjanjian gencatan senjata Gaza terpaksa meredah lautan orang ramai ketika tiba di Tebing Barat pada jam 2 pagi tadi.
Mereka adalah sebahagian daripada 90 tahanan Palestin di penjara Israel yang dibebaskan susulan gencatan senjata yang turut menyaksikan tiga tebusan Israel dibebaskan pejuang Hamas.
Dalam tempoh 42 hari akan datang, sekitar 1,900 warga Palestin dijangka dibebaskan sebagai pertukaran kepada 33 tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza.
Orang ramai berkumpul lebih awal di sebuah bukit di Beitunia untuk melihat penjara Ofer milik Israel, tempat tahanan-tahanan itu dibebaskan.
Setakat ini, lebih 47,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023, menurut pegawai perubatan di Gaza. Hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal.
Gencatan kali ini itu menetapkan pertempuran dihentikan, bantuan dihantar ke Gaza dan 33 daripada hampir 100 baki tebusan Israel dan warga asing dibebaskan dalam tempoh enam minggu fasa pertama sebagai pertukaran bagi hampir 2,000 tahanan Palestin di penjara Israel. – AGENSI