Feel Sabah, North Borneo: Negeri Di Bawah Bayu Destinasi Unik Untuk Diterokai

Sabah adalah sebuah negeri permata mahkota Borneo Malaysia, menawarkan gabungan budaya yang menawan, pengembaraan yang mendebarkan, dan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan. Sama ada anda pengembara dari negara luar atau pelancong tempatan yang ingin menerokai negeri asal anda dengan lebih baik, Sabah menawarkan sesuatu yang unik untuk dilawati.

Jika anda tertanya-tanya ke mana hendak pergi atau apa yang perlu dilakukan Tahun Baru ini, berikut ialah senarai pilihan destinasi dan acara yang mesti dikunjungi yang mempamerkan perkara terbaik yang ditawarkan oleh Sabah:

Maliau Basin

Foto kredit @ Dido

Terletak di tengah-tengah Sabah, Borneo Malaysia memiliki keajaiban semula jadi yang sebenar iaitu Lembangan Maliau atau dikenali Maliau Basin. Dikatakan sebagai ‘The Lost World of Sabah’, Lembangan Maliau ialah hutan hujan yang luas, terpencil dan dipenuhi panorama menghijau yang terletak di Tawau. Lekukan unik berbentuk piring, dikelilingi oleh tebing, mewujudkan ekosistem serba lengkap dengan biodiversiti yang luar biasa.

Lembangan Maliau terkenal dengan Air Terjun Maliau – 7 tingkat berwarna tannin, dan Tasik Linumunsut iaitu tasik kawah yang indah tersembunyi didalam lembangan. Disebabkan lokasinya yang terpencil, Lembangan Maliau juga merupakan syurga hidupan liar. Hutan hujannya yang tebal adalah rumah kepada pelbagai spesies termasuk 300 spesies hidupan burung, primat mamalia, reptilia dan amfibia, serta keajaiban botani seperti pokok Agathis yang tinggi dan kepelbagaian orkid.

UTAN Rainforest Lodge

Foto kredit @ Borneo Eco Tours

Sebuah kawasan mesra alam yang baharu di Sabah, UTAN Rainforest Lodge ialah sebuah penginapan eko yang luar biasa dan terletak di tengah-tengah Rizab Rimba Dara Sungai Kapur, berhampiran Rizab Hidupan Liar Tabin yang terkenal di Lahad Datu.

Dibuka pada tahun 2023, UTAN Rainforest Lodge menawarkan peluang yang tiada tandingannya untuk menyelami keindahan dan biodiversiti hutan hujan Borneo. Dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang lebat dan hutan bakau yang subur, Utan Rainforest Lodge menyediakan tempat percutian yang tenang dan semula jadi, dimana anda boleh menikmati pengalaman pertemuan hidupan liar dan burung yang mengasyikkan.

Gunung Trusmadi

Foto kredit @ Leon Kuan

Walaupun Gunung Kinabalu sering mencuri tumpuan di Sabah, satu lagi puncak megah menanti anda yang mencari pendakian yang lebih lasak dan mencabar, Gunung Trusmadi merupakan lokasi yang pernah popular sebagai tempat memburu oleh penduduk tempatan.

Memiliki ketinggian 2,642 meter dari paras laut, Gunung Trusmadi ialah gunung kedua tertinggi di Sabah dan Malaysia. Tidak seperti Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi menawarkan pendakian yang lebih curam dan berbatu. Cabarannya terletak pada lereng yang curam dan rupa bumi yang sering berlumpur, menguji ketahanan fizikal dan ketabahan mental.

Denai Gunung Trusmadi meredah hutan hujan yang subur, menawarkan gambaran kepelbagaian flora dan fauna. Lerengnya adalah habitat kepada pelbagai tumbuhan dan haiwan, termasuk tumbuhan periuk kera yang unik, burung berwarna-warni dan pelbagai mamalia.

Pulau Sipadan

Foto kredit @ Scubazoo

Pulau Sipadan, terkenal sebagai salah satu destinasi menyelam utama dunia dan menerima pujian oleh ahli oseanografi lagenda, Jacques Cousteau.

Pulau lautan ini merupakan syurga bagi kepelbagaian biologi marin, menarik minat penyelam dan peminat snorkelling dari seluruh dunia. Seperti kebanyakan destinasi di Sabah, pembentukan geologi unik di pulau Sipadan menyumbang kepada dunia marin yang luar biasa.

Landskap marin Sipadan menawarkan kaleidoskop warna dan tekstur yang menarik. Terumbu karang dipenuhi dengan kehidupan seterusnya menjadikan ia lokasi dan habitat kepada pelbagai spesies ikan, termasuk barakuda, ikan kakap dan jerung karang. Penyelam mungkin menemui penyu, pari manta dan juga jerung kepala tukul dan menjadikan setiap penyelaman satu pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan.

Untuk memastikan kemampanan persekitaran bawah air Sipadan, penyelam dinasihatkan untuk memiliki lesen selam Advanced Open Water sebelum memohon permit untuk melakukan aktiviti ini.

Sungai Kinabatangan

Foto kredit @ Vanesa Sanchez

Sungai Kinabatangan merupakan sungai terpanjang di Sabah, Malaysia, mengalir melalui dataran banjir yang luas, mewujudkan ekosistem yang unik dan penting. Dataran banjir ini, yang dahulunya merupakan kawasan hutan hujan asli yang luas, kini menjadi mozek hutan, paya, dan tanah pertanian seterusnya menawarkan gambaran keseimbangan yang halus antara aktiviti manusia dan alam semula jadi.

Kinabatangan adalah syurga bagi biodiversiti, menyokong kehidupan pelbagai flora dan fauna yang luar biasa. Monyet proboscis, harimau dahan, gajah borneo dan orang utan adalah antara hidupan liar yang ada di Kinabatangan. Selain itu, sungai tersebut dipenuh dengan pelbagai jenis ikan, reptilia dan burung-burung.

Pelayaran di sepanjang sungai selalunya memberi anda peluang untuk melihat hidupan liar Borneo Big 5 antaranya gajah Borneo, orang utan, monyet proboscis, burung kenyalang dan buaya tembaga.

Kampung Budaya Borneo

Dengan lebih 35 kumpulan etnik dan kira-kira 200 kumpulan sub-etnik di Sabah, adalah mustahil untuk mempelajari gabungan warisan budaya ini dalam masa yang singkat. Perkampungan Budaya Borneo adalah perkampungan budaya terbesar di Sabah yang menawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan dalam pelbagai budaya orang asli Borneo.

Muzium hidup ini mempamerkan rumah tradisional, adat resam dan gaya hidup enam kumpulan etnik yang berbeza di Sabah antaranya Murut, Lundayeh, Rungus, Kadazan Penampang, Bajau dan Dusun Papar. Kampung budaya ini direka dengan teliti sama seperti persekitaran hidup asli setiap kumpulan etnik, lengkap dengan rumah panjang tradisional, peralatan buatan tangan dan hiasan yang cukup kreatif.

Selain lawatan berpandu, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang menakjubkan dan berpeluang merasai makanan eksotik.

Mount Kinabalu International Climbathon

Foto kredit @ Sri Pelancongan Sabah

Mount Kinabalu International Climbathon ialah pertandingan pendakian tahunan yang merupakan acara utama dalam kalendar acara Sabah. Climbathon ini terkenal dengan laluan yang mencabar dan pemandangan yang menakjubkan di Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia.

Dijadualkan pada Oktober 2025, perlumbaan Climbathon ini meliputi jarak sejauh 26 kilometer dengan sebahagian besar melibatkan pendakian dan penurunan curam di kawasan sukar. Acara ini boleh disertai oleh atlet elit dan pelari amatur dari seluruh dunia yang mencari cabaran yang unik dan tidak dapat dilupakan. Jika anda memerlukan motivasi untuk meningkatkan kecergasan anda tahun ini, boleh sahut cabaran ini!

Tanjung Simpang Mengayau

Foto kredit @ Jollence Lee

Kudat, yang terletak di bahagian paling utara Sabah terkenal dengan pantai berpasir putih yang menakjubkan. Lokasi ini terletak berhampiran denganpantai Kalampunian dan Tanjung Simpang Mengayau juga dikenali sebagai ‘Tip of Borneo’.

Ciri yang paling menarik di Tanjung Simpang Mengayau adalah lokasinya yang dramatik, dimana Laut Celebes dan Laut Sulu bertemu. Ini mencipta landskap yang unik dengan tebing berbatu, pantai yang bersih dan air yang jernih. Pada petang yang cerah, Tanjung Simpang Mengayau juga menyediakan latar belakang yang menakjubkan untuk melihat matahari terbenam. Anda boleh menikmati suasana matahari terbenam yang mewarnai langit dengan cahaya indah!

Tamu Besar Kota Belud

Tamu Besar Kota Belud adalah acara yang berlangsung secara tahunan. Diadakan pada bulan Oktober setiap tahun, acara ini merupakan kemuncak utama dalam kalendar acara Sabah yang mampu menarik ribuan pengunjung dari dekat dan jauh.

Tamu Besar ialah acara yang meriah dengan persembahan kebudayaan, sukan tradisional dan pasar yang pelbagai. Ia adalah masa dimana masyarakat Bajau tempatan berkumpul untuk mempamerkan kekayaan warisan mereka, daripada tarian tradisional dan muzik kepada kraftangan yang kreatif dan masakan yang lazat.

Regatta Lepa, Semporna

Regatta Lepa ialah pesta air meriah yang diadakan setiap tahun di pantai timur Semporna, Sabah. Ia meraikan tradisi budaya yang kaya bagi kumpulan etnik Bajau Laut, juga dikenali sebagai Sea Gypsies. Suku nomad yang unik ini mempunyai hubungan yang mendalam dengan laut, menjadi tukang bot dan nelayan yang sangat baik dan tinggal diatas air. Regatta Lepa ialah pameran warisan maritim, kesenian budaya dan semangat komuniti yang bertenaga.

Kemuncak Regatta Lepa yang paling menakjubkan ialah perarakan perahu ‘lepa’ yang direka dengan indah dan berwarna-warni. Kapal layar tradisional ini, sering dihiasi dengan ukiran yang rumit dan warna-warna terang, meluncur dengan gah di perairan, diiringi dengan tarian tradisional Bajau yang berirama dan mempesonakan yang dikenali sebagai Igal-Igal.

Sabah dikenali sebagai tanah yang kaya dengan budaya, alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan dan menjadikannya sesuai untuk mereka yang ingin menerokai destinasi luar bandar.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Sabah dan mendapatkan idea tentang perkara yang boleh anda lakukan sepanjang 2025, ikuti kami di saluran media sosial atau layari www.sabahtourism.com.

BBerkaitan

Latest articles