Intipati Ucapan Tiada Unsur Fitnah, Mahkamah Arah Hannah Yeoh Bayar RM40,000 Kepada Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak memfitnah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika berucap pada satu forum, empat tahun lalu.

Hakim Arziah Mohamed Apandi berpuas hati dengan kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 yang tidak berniat jahat terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.

Sehubungan itu Hannah selaku plaintif, diperintahkan untuk membayar kos guaman berjumlah RM40,000.

Musa, 73, ketika memberi keterangan berkata, gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah `Becoming Hannah: A Personal Journey’, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Namun Musa menjelaskan, ucapannya itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.

Dalam penghakimannya, Hakim Arziah berkata, plaintif gagal membuktikan dua elemen penting fitnah bahawa kenyataan secara keseluruhan merujuk kepadanya dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitan tersebut.

Beliau berpendapat, defendan hanya penceramah jemputan tanpa mengetahui bahawa forum itu akan disiarkan, selain hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujung forum.

Hakim Arziah berpendirian berpendirian, Musa tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan itu manakala statistik menunjukkan kurang daripada 1% kadar penglibatan, tiada komen negatif yang ditujukan kepada plaintif serta tiada bukti penyebaran dibuat secara meluas.

Dalam keputusannya, Hakim Arziah turut berkata, prinsip undang-undang memerlukan plaintif membuktikan penerbitan itu dibenarkan oleh defendan.

Di sini, penerbitan itu jelas oleh UiTM, bukan defendan.

“Dalam hal ini, defendan tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan dan tahap penerbitan juga adalah minimum,” ujar beliau.

Hakim berkenaan turut menyentuh pembelaan Musa bahawa kenyataannya dibuat sebahagiannya berdasarkan penulisan akademik dan analisis seorang pensyarah dan pengalaman beliau ketika berjawatan Ketua Polis Negara.

Ujar beliau, mahkamah mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin berkhutbah melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya penganut Kristian.

Hakim Arziah turut menyatakan, defendan berjaya membuktikan pembelaan bersyarat bahawa forum itu dianjurkan oleh Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM manakala defendan selaku bekas KPN, mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk bercakap mengenai perkara yang melibatkan negara.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah memberitahu wakil media, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles