KUALA LUMPUR: Orang ramai masih boleh mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara fizikal di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdekatan.
Langkah itu terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah penggunaan lesen memandu secara digital.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bagi warganegara yang berhasrat ke luar negara, kad LLM fizikal boleh dipohon di cawangan JPJ.
Katanya Permit Pemanduan Antarabangsa (IDP) yang diterima pakai di negara-negara penjanji Konvensyen Geneva 1949.
Beliau berkata, ketika ini inisiatif pendigitalan masih berada di fasa pertama membabitkan kumpulan sasar iaitu bagi penggunaan pakai dalam negara.
“Justeru JPJ memberikan rebat sebanyak RM5 bagi pilihan cetakan digital di semua saluran termasuk MyJPJ,
“Ia sebagai satu inisiatif menggalakkan kempen digitalisasi dan pelanggan JPJ hanya layak mendapat rebat bagi sekali transaksi pembaharuan saja.
“Kementerian ambil maklum pelbagai reaksi daripada orang awam, bagaimanapun secara keseluruhannya, inisiatif pendigitalan JPJ ini mendapat sambutan dan penerimaan yang baik daripada rakyat berdasarkan muat turun aplikasi MyJPJ di semua gudang penyedia perkhidmatan digital,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan di laman web Parlimen.
Loke berkata, setakat Oktober 2024, sejumlah 13.7 juta pengguna memuat turun aplikasi MyJPJ dan sebanyak lebih 10.7 juta pendaftaran JPJeID sudah dibuat oleh pengguna sejak diperkenalkan pada Februari 2023.
Pada Februari 2023, Kementerian Pengangkutan mengumumkan inisiatif pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Cukai Jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu (warganegara) saja, yang boleh diakses melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ.