KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meminta orang ramai bertenang dan tidak mengaitkan dirinya dengan kes jasad bayi yang ‘ditahan’ selama dua minggu seperti yang hangat diperkatakan sejak dua hari ini.
Ahmad Razif, dalam masa yang sama menafikan dakwaan beliau merupakan pemilik Hospital Bersalin Razif, dimana ibu kepada jasad bayi mendapatkan rawatan ketika bersalin.
Kenyataan itu menyusul selepas beliau menerima komen dan mesej yang meluahkan kemarahan selepas disangka sebagai pemilik hospital terbabit.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut menjelaskan sehingga kini beliau hanya mempunyai pusat rehabilitasi di Terengganu.
“Mohon bertenang semua. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di sosial media hari ni pakat duk maroh ke saya. Saya bukan owner (pemilik) Hospital Bersalin Razif deh. Saloh orang ni.
“Saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus je. Kalau nok booking untuk rawatan fisio dan rehabilitasi, boleh contact nombor 09-6669698 atau 010-3429865.
“Hospital bersalin takdok lagi setakat ni. Mohon doalah belaka moga suatu hari nanti boleh buka hospital pulok,” katanya di Facebook.