Kapal perang China ke P Pinang tak langgar undang-undang, kata Tok Mat

PARLIMEN — Tiada pelanggaran undang-undang dikesan daripada kunjungan dua kapal tentera laut China di Pulau Pinang awal bulan ini, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, permohonan diplomatik membabitkan lawatan ke sebuah sekolah di Pulau Pinang yang dikemukakan Kedutaan China mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan.

“Kementerian Luar cuma memberi kelulusan diplomatik untuk kapal itu memasuki perairan dan berlabuh di sana. Yang lain adalah urusan kerajaan Pulau Pinang.

Semua diuruskan pihak keselamatan dan siasatan akan dilakukan jika berlaku apa-apa pelanggaran. Namun, setakat ini, memang jelas apa yang dipohon dalam permohonan diplomatik itu semuanya tidak melanggar peraturan negara kita, katanya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, kunjungan itu susulan sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia dan China.
Beliau menjawab soalan tambahan Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) berhubung sambutan meriah kerajaan Pulau Pinang terhadap kunjungan dua kapal tentera laut China yang disifatkan tidak sensitif

Terdahulu, Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Saifuddin Abdullah menyifatkan sambutan meriah dua kapal tentera laut China di Pulau Pinang tidak masuk akal , terutama ketika timbul dakwaan perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.

Qi Jiguang dan JingGangShan berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang 5 Okt lalu dalam lawatan muhibah tiga hari bagi meningkatkan saling kepercayaan antara tentera laut China serta Malaysia.

Media melaporkan anak-anak kapalnya turut melawat sebuah sekolah menengah swasta di Pulau Pinang, selain membuat kunjungan hormat terhadap beberapa pegawai tempatan.

BBerkaitan

Latest articles