Wakil Penduduk Kondominium Di Mont Kiara Buat Laporan Sprm Dakwa Berlaku ‘Penyelewengan’ Oleh JMB

KUALA LUMPUR: Wakil penduduk sebuah kondominium strata di Mont Kiara, Kuala Lumpur mendakwa berlaku ‘penyelewengan’ dan salah guna kuasa oleh jawatankuasa bersama (JMB) kondominium itu.

Dzulhilman Sulaiman mendakwa, pengurusan JMB yang baru dilantik 18 bulan lalu dipercayai menganugerahkan kontrak bernilai RM3.3 juta tanpa proses tender yang betul kepada syarikat tidak bertauliah dan tidak pernah diaudit sejak 2013.

Susulan itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat berhubung dakwaan tersebut.

“Tender ini berkait rapat dengan kontrak membaik pulih, landskap, penyelenggaraan tetapi kos sebenarnya tak sebegitu rupa, jadi kita minta siasat dengan syarikat-syarikat terlibat.

“Kita tak puas hati dan sebab itu hadir ke SPRM hari ini untuk menyerahkan bukti-bukti yang sudah kami kumpul mengenai salah laku dan pecah amanah pihak pengurusan JMB,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Dzulhilman berkata, penduduk dari 200 unit membayar di antara RM800 hingga RM2,000 yuran penyelenggaran bulanan yang dikira mengikut keluasan kediaman.

Perkara menimbulkan persoalan dakwa Dzulhilman adalah berkaitan jumlah kontrak penyelenggaraan bangunan yang sebut harganya lebih tinggi walaupun hakikatnya nilai kontrak jauh lebih rendah, dan syarikat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan individu di dalam JMB.

Katanya, maklumat berkenaan nilai kontrak itu diketahui menerusi pembentangan wakil JMB pada mesyuarat agung tahunan pada Disember tahun lalu.

Dakwa Dzulhilman lagi, pada mesyuarat agung lalu penduduk sudah bersetuju supaya kontrak JMB terbabit dihentikan memandangkan pelbagai masalah.

“Ada beberapa ahlinya telah keluar kerana tak tahan, walaupun kita bersetuju tukar JMB tetapi malangnya penyerahan kuasa belum berlaku.

“JMB terbabit bawa pula ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata yang akhirnya mereka kalah, namun mereka bertindak membawa perkara ini ke Mahakamh Tinggi menyebabkan proses peralihan itu ambil masa,” katanya.

Laporan dibuat Dzulhilman itu menyusul penularan dakwaan ‘kartel JMB’ yang turut dikaitkan dengan seorang wakil rakyat DAP, pegawai khasnya dan seorang lagi individu.

Mereka didakwa mencampuri urusan pelantikan kepimpinan JMB dan perbadanan pengurusan bersama (JMC).

BBerkaitan

Latest articles