KUALA LUMPUR: Selain kestabilan Kerajaan Perpaduan pada hari ini, faktor kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah disebabkan kekuatan personaliti yang dimilikinya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahkan percaya, kedua-dua faktor itu akan mengembalikan warna ‘biru’ gabungan berkenaan di Parlimen Kemaman.
Malah Ahmad Zahid percaya kelebihan BN inilah menyebabkan Perikatan Nasional (PN) terpaksa mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon.
“Walaupun kita perlu akui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi.
“Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas mengenai proses penamaan calon PRK Parlimen Kemaman hari ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Ahmad Samsuri.
Presiden UMNO itu yakin Raha Mohamed Affandi amat memahami sejarah Kemaman, kerana beliau membesar bersama keluarga tercinta dan telah menabur jasa di daerah tersebut.
Beliau berkata, kemenangan calon BN berkenaan pasti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran kawasan Parlimen Kemaman.
“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengakui bahawa laluan kemenangan BN bukan semudah yang diinginkan walaupun perbuatan merasuah pengundi Kemaman telah dibuktikan di mahkamah.
“Tetapi dengan gerak kerja tersusun BN, saya yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan kawasan Parlimen ini,” katanya.
Beliau menasihatkan jentera BN untuk berkempen secara sihat serta berhemah serta jangan terikut-ikut cara pihak yang sarat dengan caci maki dan fitnah.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kerusi Parlimen tersebut sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat BN namun terlepas ke tangan PKR pada PRU-10 dan Pas pada PRU-14.