Seiring Keputusan Mahkamah, Syed Saddiq Lepas Jawatan Presiden MUDA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas mahkamah mendapati beliau bersalah terhadap perbuatan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram hari ini.

Sehubungan itu jawatan itu akan dipangku oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mendakwa keputusan dibuat bagi membersihkan nama beliau di peringkat Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun beliau akan kekal menggalas tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

“Sesiapa yang menjawat jawatan Presiden perlu lebih putih daripada putih kerana beban tanggungjawab itu agak luar biasa.

“Dan tidak ada sesiapa pun termasuk diri saya lebih besar daripada parti yang diasaskan oleh kami semua dan rakyat Malaysia dengan dokongannya. Saya tidak tergolong dalam kumpulan tersebut,” katanya di sidang media, hari ini.

Terdahulu MUDA mengadakan perbincangan menerusi Mesyurat Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan telah dipersetujui bersama pimpinan parti hari ini, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Syed Saddiq.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata, beliau tidak akan terlibat dalam apa-apa perbincangan membuat keputusan dalam parti sementara menjalani proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas didapati bersalah.

Hakim berkata pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta dana milik sayap Angkatan Muda Bersatu (Armada) pada Mac 2020.

Bagi pertuduhan ini, Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.

Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, yang akan berjalan serentak.

BBerkaitan

Latest articles