Lima Rakyat Malaysia Yang Berada Di Gaza Dalam Keadaan Selamat

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan lima rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik di Gaza susulan pertempuran antara Israel dan Hamas kini berada dalam keadaan selamat.

Mereka adalah seorang ibu bersama tiga orang anaknya.

Manakala, seorang lagi adalah doktor, Nurul Ain Latif, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan telah berkahwin dengan warga Palestin.

“Mereka berada di tempat yang selamat. Kita juga sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain.

“Sehingga kini kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama dengan lapan warga Indonesia yang berada di kawasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi pertanyaan menteri, yang bertanya mengenai langkah atau bantuan sokongan yang akan diberikan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Wisma Putra juga sedang memantau kedudukan rakyat Malaysia lain, sekiranya ada, di kawasan terbabit.

“Sehingga setakat ini, belum ada laporan lain yang melibatkan kedudukan rakyat Malaysia.

“Melainkan beberapa hari lalu ada rombongan melibatkan rakyat Malaysia dan Singapura yang berada di kawasan Baitulmaqdis, (tetapi) telah dikeluarkan,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles