Negeri Sembilan Pandang Serius Isu Kemiskinan Tegar Rakyat – Jalaluddin

 

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan memandang ke hadapan terhadap isu kemiskinan tegar di negeri tersebut, selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Perkara ini ditekankan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan kepada media sejurus selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Negeri Sembilan pada pagi tadi.

Terdahulu, Tuanku Muhriz dalam titah ucapan perasmiannya meminta Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Aminudin Harun terus memperkasakan sosio-ekonomi negeri.

”Pada masa yang sama, Kerajaan Beta hendaklah meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui program pembasmian kemiskinan tegar seiring dengan matlamat pembangunan mampan ataupun Sustainable Development Goals (SDG) yang pertama iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar bertambah baik,” titah Tuanku.

Jalaluddin menyambut saranan Tuanku tersebut dengan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan usaha bagi membanteras kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.

“Selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri, saya memandang kehadapan terhadap titah Tuanku mengenai isu kemiskinan tegar di Negeri Sembilan. Insya-Allah di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Negeri Sembilan akan menggerakkan program bersifat membanteras kemiskinan tegar dari semasa ke semasa, agar par kemiskinan rakyat negeri ini bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Peladangan dan Komoditi Negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Besar terhadap isu-isu melibatkan kos sara hidup dan pembangunan luar bandar.

“Menjunjung kasih Tuanku atas keprihatinan Tuanku terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan jurang antara bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Untuk makluman rakyat, Tuanku memperakui dan menyedari akan usaha yang telah dilakukan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan kos sara hidup dan bekalan makanan untuk rakyat sentiasa di tahap yang baik,” ujarnya.

Semasa titah perasmian sidang DUN Negeri Sembilan, Tuanku turut memberi contoh mengenai usaha kerajaan memperkenalkan program jualan barang keperluan asas yang membolehkan rakyat membeli barang keperluan pada harga yang lebih murah dari harga pasaran.

Jalaluddin turut menyatakan pengharapannya agar Negeri Sembilan dapat dipacu kearah lebih maju dan berdaya saing.

“Harapan saya agar kita dapat sama-sama memacu Negeri Sembilan kearah lebih terkehadapan,” tambahnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles