Abang Tiri Ditahan Selepas Tak Cuba Selamatkan Adik Yang Lemas Dalam Kolam

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan polis berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang lemas ketika sedang mandi di dalam kolam renang di sebuah residensi di Kajang pada 13 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, penahanan itu dibuat selepas polis melakukan pemeriksaan lanjut rakaman kamera litar tertutup dari lokasi kejadian.

“Penelitian polis terhadap CCTV itu telah ternampak kelibat disyaki abang tiri mangsa berada di tepi kolam itu dan sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat mangsa yang sedang lemas dalam kolam tersebut tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D7 IPD Kajang telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan malam tadi bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek yang berumur 26 tahun itu kini direman sehingga 30 September ini.

Menurut beliau, siasatan sedang dilakukan dan diklasifikasi di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua puluh tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Zaid berkata, pada 14 September lalu jam lebih kurang jam 12.52 tengah hari polis telah menerima satu laporan daripada seorang seorang pegawai perubatan dari Hospital Serdang.

Beliau memaklumkan telah menerima pesakit kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang dibawa ke Hospital Serdang dengan menggunakan ambulans dari sebuah Klinik di Bandar Sri Putra Bangi dalam kedaaan tidak sedarkan diri pada 13 September, jam lebih kurang 3 petang.

Mangsa dikatakan lemas semasa mandi di kolam renang.

Setelah mendapat rawatan, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 14 September lalu jam lebih kurang 1.11 tengah hari.

Tambah Mohd Zaid, pada awalnya polis telah mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai Laporan Mati Mengejut.

BBerkaitan

Latest articles