PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil pendirian tegas untuk terus memperkukuh aspek pemantauan tata kelola, integriti, dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa setiap organisasi di bawah KPKM wajib diuruskan secara telus, berintegriti tinggi, serta mematuhi sepenuhnya peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan, atau isu yang boleh menjejaskan kepentingan awam perlu dikenal pasti dengan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil tanpa kompromi.
“KPKM tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola.
“Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” ujar beliau dalam kenyataan media pada Selasa.
Tambah Mohamad, pihak pengurusan agensi dan anak syarikat turut diingatkan supaya memastikan setiap keputusan, proses perolehan, serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan akauntabiliti yang tinggi.










