DDNK Kongsi Pengalaman Ada Dua Isteri Berbeza Umur

Selebriti pakar saham, Datuk Dr Mohd. Nazri Khan yang lebih dikenali dengan gelaran DDNK tampil berkongsi kehidupan alam rumahtangganya selepas mengharungi pengalaman memiliki dua isteri yang berbeza umur.

Pengurus Kewangan itu berkata, ketika ini, isteri baharunya yang jarak usia jauh lebih muda 22 tahun dengannya memiliki sikap berbeza dengan bekas isteri yang sudah berusia sebelum ini.

Ini kerana jelas lelaki berusia 48 tahun itu, isterinya, Datin Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 26, mempunyai sikap manja, tidak banyak kerenah dan mendengar kata suami.

Namun ujar beliau, ia berlainan dengan sikap bekas isteri yang lebih matang dan kaya dengan sikap keibuan serta terbuka dalam banyak perkara.

“Pengalaman hidup dengan isteri pertama dan kedua, masing-masing ada kelebihan. Untuk isteri kedua yang lebih muda ini dia lebih manja, lebih fleksibel, dengar cakap dan tak banyak kerenah. Mungkin rasa hormatnya ada di situ. Tapi, dia juga lebih nakal, kuat cemburu dan kuat merajuk.

“Kalau isteri yang dulu lebih berusia, dia lebih matang, terbuka, bersikap keibuan dan faham kehidupan. Tapi, itu adalah pilihan kita. Keduanya hebat dan perlu tahu apa matlamat hidup. Kita perlukan isteri yang boleh sokong matlamat kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette,di sini, semalam.

Nazri berkahwin dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris pada September tahun lalu namun pernikahan mereka menjadi kontroversi dan menjadi kecaman netizen kerana memilih isteri yang lebih muda dengan mengadakan majlis perkahwinan penuh mewah.

Tampil mempertahankan diri, beliau menjelaskan sudah berpisah dengan isteri pertama sejak 2021 dan proses perpisahan secara rasmi disahkan tahun lalu.

Beliau juga menjelaskan, hanya mula mengenali isteri baharunya pada September 2021 dan menjadi serius awal tahun lalu.

Mengulas lanjut, Nazri mengakui perkahwinan dengan isteri yang lebih muda memberi hikmah apabila banyak perubahan yang berlaku ke atas dirinya.

Beliau yang popular menerusi tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ berkata, itu perkara pelik yang berlaku terhadap dirinya yang mana tidak pada perkahwinan pertama.

“Bila saya kahwin dengan yang lebih muda ini saya berasa lebih muda. Maksudnya, kalau dulu saya jarang pergi masjid, sekarang saya sudah selalu. Kalau dulu jarang pergi kuliah agama sekarang sudah kerap.”

“Bukan saya mahu salahkan isteri pertama, cuma perjalanan hidup saya seperti itu. Saya belajar daripada perceraian yang berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Nazri tidak bersetuju dengan gelaran ‘penyondol’ diberikan terhadap wanita yang menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat.

“Saya tak bersetuju ‘penyondol’ dalam istilah isteri kedua. Bagi saya ia tidak boleh berlaku sebelah tangan. Tidak boleh rempuh atau santau untuk terus berkahwin. Ia mesti bertepuk dua belah tangan.

“Bila sebut berkenaan cinta dan sayang, ia adalah perkara yang kita tiada daya untuk menahan. Bila sudah sayang, kita tidak boleh menipu perasaan. Bila kita kata sayang, maksudnya kita memang sayang. Bagi saya, tidak boleh seorang sahaja yang sayang untuk terus kahwin.

“Jadi, sondol menyondol ini tidak betul. Kalau daripada konteks saudara Syamsul (Syamsul Yusof) atau sesiapa sahaja, apa yang penting adalah kalau boleh berbahagia dengan yang pertama atau kedua (isteri) itu yang terbaik.

“Saya tiada pengalaman sebegitu, isteri saya yang kedua memang sangat baik,” katanya sambil memberitahu isterinya turut terkena tempias kontroversi perkahwinan kedua pengarah Syamsul Yusof dan Ira Kaza baru-baru ini.

Tegas Nazri, soal kahwin itu adalah jodoh dan ketentuan Allah SWT.

“Kita semua perlu faham ini adalah jodoh dan mungkin kuasa Allah. Mungkin orang tidak boleh terima tapi itulah hakikatnya. Saya tidak setuju dengan istilah sondol menyondol ini,” katanya. – MG

BBerkaitan

Latest articles