KUALA LUMPUR: Seluruh 3,000 perwakilan UMNO akan mendengar sendiri perincian kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada petang ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, taklimat berkenaan akan menjawab persoalan mengapa parti itu mengambil pendirian menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ingin jelaskan bahawa lebih 3,000 perwakilan petang ini akan diberikan penjelasan oleh Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tentang kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Jadi apabila mereka pulang mereka (perwakilan) akan cerita mengenai perkara itu dan presiden tidak boleh pergi terlalu teliti tentang Kerajaan Perpaduan pada Ucapan Dasar PAU2022, jadi dia akan perincikan petang ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022), yang bermula hari ini.
Sementara itu, ucapan dasar yang akan disampaikan Ahmad Zahid pada Sabtu ini hanya akan menyentuh mengenai isu-isu mengenai agama, ekonomi, kos sara hidup.
“Tentunya itu yang akan dibincangkan dalam ucapan dasar tapi penelitian mengenai Kerajaan Perpaduan akan diberikan petang ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO tahun lalu dan bukan PAU.
Ahmad pada 24 November tahun lalu berkata, kerajaan perpaduan yang akan disertai kelak bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, keputusan untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan bersama PN itu dibuat bagi memastikan kerajaan yang dibentuk lebih stabil.