KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, berkata pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak wajar terus dipertikaikan.
Annuar musa berkata, tumpuan utama kini bukan saja memperkukuh perpaduan nasional, tetapi juga melakukan rekonsiliasi nasional.
“Pelantikan Anwar tidak wajar dipertikaikan kerana proses pelantikan sudah selesai dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Tumpuan sekarang adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara, jadi kita perlu perpaduan nasional serta rekonsiliasi nasional.
“Justeru sekarang juga adalah masa untuk menghentikan pertikaian, memperkasakan muafakat dan kerjasama,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Tambahnya, menerusi suatu proses pemulihan, ia bukan saja dapat membangkitkan semula keutuhan dan kekuatan negara serta bangsa, tetapi mampu mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang kian mencabar.
Oleh itu, beliau mengajak semua mendoakan supaya 221 ahli Parlimen yang terpilih itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.
“Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia. Selamat bersidang,” katanya.
Khamis lalu, Anwar memaklumkan, sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 19 Disember ini akan turut mengemukakan usul percaya di Parlimen bagi menepis segala dakwaan terhadap keabsahan pimpinannya.