PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) utuk meneliti implikasi berkaitan subsidi dan harga barangan.
Anwar berkata, tempoh dua minggu itu sesuai dengan pelantikan ahli Kabinet dan menteri terlibat yang akan segera menguruskan kedua-dua isu tersebut
Beliau berkata, isu kos sara hidup diberi keutamaan kerana ia dilihat terlalu menyiksa sebahagian besar golongan miskin.
“Saya beri tempoh dua minggu kerana sesuai dengan keputusan yang harus diambil oleh Jemaah Menteri. Saya dahulukan ini kerana saya anggap masalah kes sara hidup terlalu menyiksa sebahagian besar rakyat miskin.
“Saya beri notis dua minggu selesai pembentukan Kabinet kita dapat meneliti keseluruhan dasar dan kementerian yang ditugas menyediakan kertas akan memperbincangkan dengan semua (pihak) perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan sektor swasta sebelum diangkat ke jemaah menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022, di sini hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus antara yang hadir dalam mesyuarat yang sama.
Turut terlibat pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Menurut Anwar, isu subsidi yang tinggi seharusnya diberikan perhatian kerana ia bukan sahaja membabitkan peruntukan yang tinggi tetapi turut dimanfaatkan oleh golongan kaya dan pihak industri.
Antaranya termasuk beban susbsidi tarif elektrik berjumlah RM2.5 bilion.
“Saya tidak ada masalah dengan subsidi. Tapi dalam perbincangan kita melihat data yang penuh, isu subsidi ini harus bersasar.
“Jika tidak seperti harga minyak misalnya, subsidi itu dimanfaat oleh rakyat dan golongan kaya.
“Jadi perlu mencerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur, supaya mereka faham subsidi tujuannya itu meringgankan beban rakyat miskin dan golongan kaya, industri tidak harus mengambil manafaat,” katanya.
Jelas Anwar, golongan kaya dan industri akan mendapat manfaat dalam bentuk lain.
Ini termasuk insentif untuk syarikat yang akan diperbaiki supaya tidak menjadi satu beban kepada kumpulan itu kerana mereka telah biasa dengan subsidi yang disediakan.
Anwar juga meminta Majlis Tindakan Sara Hidup Negara supaya melihat harga barangan di pasaran.