KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengingatkan kepimpinan kerajaan yang baru tidak lagi membebankan rakyat dengan kemelut politik.
Apatah lagi dengan pelbagai krisis yang melanda dunia, maka negara dan rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan ekonomi dan pembangunan.
Baginda menyeru semua pihak supaya segera merapatkan saf.
Bukan itu sahaja, setiap ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih pula diingatkan sentiasa memberi keutamaan dan komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
“Justeru, bagaikan biduk berlalu, kiambang bertaut hulurkan tangan satu sama lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli dewan rakyat demi masa depan negara tercinta,” demikian titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.
Tambah beliau, Seri Paduka Baginda turut berpesan Perdana Menteri dan kerajaan baharu baginda yang bakal dibentuk supaya mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.
Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” katanya lagi.