BN Kelantan Mahu Calon Santuni Pengundi Berkeluarga Besar

MACHANG: Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yakub, mengingatkan semua calon yang bertanding di negeri itu untuk memberi fokus utama kepada kempen secara bersasar menjelang tempoh berkempen berbaki empat hari lagi.

Ini kerana beliau berpendapat, pendekatan itu lebih memberi kesan berbanding mengadakan ceramah atau lawatan dalam bentuk berskala besar.

“Saya sentiasa tekankan jangan fokus ceramah kerana bagi saya ia kurang berkesan untuk menarik pengundi memandangkan mereka yang hadir kebanyakannya adalah penyokong kita.

“Sebab itu, saya galakkan mereka berkempen secara bersasar iaitu membuat senarai pengundi di Parlimen masing-masing selain melawat pengundi yang mempunyai keluarga besar.

“Pendekatan itu bagi saya lebih memberi kesan berbanding mengadakan ceramah atau lawatan dalam bentuk berskala besar, kata seperti dilapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga calon Parlimen Machang itu, menekankan agar semua jentera berganding bahu, bagi mempergiatkan lagi kempen dalam tempoh yang berbaki beberapa hari lagi sebelum PRU15.

“Semua jentera perlu berganding bahu, giatkan kempen serta merayu supaya mereka undi kita. Beri penjelasan mengapa mereka perlu sokong BN.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan gerak kerja jentera dan calon. Kita hanya berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah.

“Bagaimanapun, saya tidak berhenti untuk merayu pengundi di Kelantan supaya memilih calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles