BERA: Perdana Menteri menyatakan beliau tidak akan mengguna pakai strategi kempen menyerang peribadi lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, strategi itu merupakan taktik lama.
Jelas beliau, rakyat kini lebih matang dan bijak dalam menilai, mereka mahu tahu apa yang kita akan berikan sekirannya memilih Barisan Nasional jadi kerajaan.
“Serangan, taktik strategi lama. Pengundi baru tak suka dengar serangan peribadi serangan yang tak tepat. Kita kempen bersandarkan fakta.
“Kalau pilih kerajaan ini mereka tahu apa yang mereka akan dapat. Saya tak fokus serang sesiapa.
“Apa yang kita bagi kepada rakyat, apa produk kita tawarkan. Strategi itu rakyat nak dengar, mereka matang dan bijak,” jelasnya.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa beliau masih lagi calon Perdana Menteri jika BN menang pada PRU15.
Beliau menyatakan bahawa kempen pembangkang “undi BN, undi Zahid jadi PM” hanyalah momokan pihak lawan sedangkan ia adalah tidak benar.
“Saya dah banyak kali betulkan persepsi ini.Setakat hari ini parti masih berpegang kepada ketetapan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU),” tegasnya.