PADANG TERAP: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, meluahkan rasa kecewa dengan tindakan dua pemimpin UMNO yang bertindak memilih untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mahdzir berkata, Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib bakal berhadapan tindakan daripada Lembaga Tatatertib UMNO.
“Kepada rakan-rakan yang sudah keluar dan mengikut kepada parti lain sudah tentulah ada peraturan yang telah disediakan oleh parti itu.
“Kita kira bahawa semua orang tahu dah peraturan-peraturan yang terkandung ataupun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada BN.
“Kita cakap macam itu dulu sebab kita sekarang ini sedang menghadapi pilihanraya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini sebab kita adalah ahli UMNO dan ahli parti dalam komponen BN,” katanya kepada pemberita pada malam Khamis.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Persembahan Wayang Kulit oleh Masyarakat Siam di Padang Terap, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata keputusan dua pemimpin UMNO itu jelas melanggari Perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Kedua-dua bekas anggota Kabinet itu sebelum ini yang masing-masing merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang kerusi masing-masing pada PRU14 menggunakan tiket BN.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka digugurkan dari senarai calon BN pada PRU-15 dan digantikan dengan Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau manakala Shahniza Shamsudin pula di Parlimen Maran.