KIMANIS : Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini merupakan pendirian dan kesepakatan yang telah ditetapkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kesepakatan itu juga turut dimeterai menerusi perjanjian bagi mewujudkan Kerajaan Negeri yang stabil.
“Saya faham ada dalam kalangan ahli bertanya kenapa perlu ada kerjasama dalam GRS. Ini adalah pendirian kita dari dahulu sebelum PRN Sabah.
“Kita ada perjanjian bagi mewujudkan Kerajaan stabil, Kerajaan GRS-BN akan terus Kita pertahanan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Program berkenaan dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kerjasama yang sedia ada itu juga perlu diteruskan bagi memastikan kemenangan calon BN-GRS di Sabah mencapai jumlah kerusi yang banyak.
“Dalam politik ini tidak semua kita mahu kita dapat, tapi yang penting strategi kita untuk menang. Kita mahu wujudkan Kerajaan makmur dan stabil untuk Masa depan anak kita.
“Masa kita terlalu singkat, untuk menang kita kena buat kerja orang mahu menang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, penyandang kerusi Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis atas tiket (BN) yang disandangnya sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020.
Pencalonannya diumunkan Ahmad Zahid pada program yang sama hari ini.
“Saya letakkan semula Datuk Mo di Kimanis,” katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata BN juga menghargai sokongan diberikan bekas Menteri Luar yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman kepada Mohamad untuk bertanding pada PRU15.
Terdahulu, Mohamad yang lebih mesra dipanggil Datuk Mo berkata, Anifah yang kini Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menyatakan sokongan kepadanya untuk terus mempertahankan kerusi Kimanis.
“Datuk Seri Anifah kata, Mo don’t worry I support you. Penyokong PCS juga hadir pada program hari ini,” katanya.