KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan tiada apa yang disembunyikan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Amirudin berkata, beliau tetap dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Oktober lepas untuk tidak membubarkan DUN demi menjaga kepentingan rakyat.
“Saya tak pasti dengan laporan media dan sebagainya, seolah-olah ada gambaran Selangor sahaja mengambil keputusan berbeza tidak sealiran.
“Tetapi itulah perkara yang telah kita bincangkan, telah lama dan kita telah maklumkan kepada semua dan Tuanku juga mengambil maklum.
“Bermakna itu dalam keputusan saya dan kerajaan negeri yang berada pada jajaran dan urusannya mengikut kepada Perlembagaan Persekutuan
“Jadi, saya percaya itu perkara yang ditimbulkan supaya tidak timbul desas desus Tuanku menolak atau kita dah tawarkan ataupun ada perbincangan lain dan sebagainya.
“Saya rasa penjelasan Tuanku menjelaskan balik dengan lebih terang apa yang telah telah berlaku pada pertemuan tersebut,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Jelajah Selangor Penyayang, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Sultan Sharafuddin menitahkan kerajaan negeri supaya menyegerakan projek berkepentingan rakyat seperti tebatan banjir dan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum pembubaran DUN dilakukan.
Amirudin berkata, susulan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen.
Dalam pada itu Amirudin menegaskan pendirian kerajaan negeri yang tidak akam membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya umum secara serentak dengan Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini keputusan kita tetap, saya dah maklumkan kepada banyak pihak kepada kepimpinan tertinggi dan kita percaya masih lagi teruskan pelan kita dan tidak ada perubahan,” katanya.