Gambar Mesyuarat Terakhir Bersama UMNO Sebelum PAS Pilih Bersatu

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi gambar pertemuan antara Presiden dan Timbalan Presiden daripada kedua-dua parti UMNO dan PAS yang berlangsung pada Rabu lalu.

Gambar tersebut dirakam sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama Bersatu-Perikatan Nasional (PN) semalam.

Asyraf, dalam satu hantaran di Facebokknya mendakwa pertemuan itu adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima PAS bagi menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan bersama-sama menjadi pembangkang.

“Bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal dikongsi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Bagaimanapun PAS pada semalam, mengambil ketetapan memilih PN sebagai rakan menghadapi PRU15, dengan mengambil kira prinsip Penyatuan Ummah, demikian menurut Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Asyraf Wajdi, sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun ‘madu dibalas tuba’.

“Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan kerana UMNO yakin rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan,” katanya.

Dalam masa yang sama Asyraf menyorot sedikit sejarah bagaimana MN diwujudkan atas deraian air mata kesyukuran yang menyelesaikan permusuhan politik puluhan tahun kedua-dua parti sehingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi PAS yang membawa mesej bahawa Majlis Syura PAS dan Muktamar PAS telah membuat resolusi mahukan hubungan PAS dan UMNO dipulihkan kembali.

“Dewan Ulama PAS juga dikhabarkan membuat resolusi serupa. Justeru, UMNO sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali PAS, walaupun dikhianati apabila PAS bersetuju mendaftarkan PN bersama BERSATU sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dulu, UMNO menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang kepada PAS untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada PAS.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, PAS menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada PAS.

“Apa-apapun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya sudah dilakukan bagi menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutama permuafakatan UMNO-PAS, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles