KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang diadakan pada 5 Oktober ini akan memutuskan penyertaan MUDA ke dalam gabungan itu.
Menurut Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, berkata mesyuarat minggu depan itu juga akan memutuskan hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Secara keseluruhan perbincangan itu sangat positif, semua parti dalam PH secara prinsip mengalu-alukan kehadiran Muda dan kerjasama dengan PSM cuma keputusannya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 5 Okt ini,” katanya memetik laporan FMT.
Terdahulu, satu jawatankuasa diwakili setiap parti komponen PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP), Hasbie (Amanah) dan Ewon Benedick (Upko) mengadakan pertemuan dengan wakil Muda dan PSM.
Muda diwakili presiden dan timbalannya Syed Saddiq dan Amira Aisya Abd Aziz manakala PSM diwakili timbalan pengerusinya S Arulchelvan.
Bercakap kepada FMT, Hasbie berkata mesyuarat berlangsung lebih sejam bermula 10 pagi itu sepakat menegaskan kerusi disandang PH tidak akan diserahkan kepada Muda.
“Muda juga menyatakan komitmen tidak akan menuntut kerusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, secara dasar Muda menyatakan komitmen kepada prinsip PH untuk menjadi sebahagian daripada komponen berkenaan, yang mana “akan jatuh bangun bersama gabungan itu”.
Pada 6 Sept, Syed Saddiq berkata parti yang dipimpinnya menyasarkan bertanding 15 kerusi Parlimen pada PRU termasuk di Muar, yang kini diwakilinya dan menyatakan hasrat untuk menjadi parti komponen PH.
Syed Saddiq berkata, objektif utama parti itu ialah untuk memberi nilai tambah kepada pembangkang pada PRU15 dan bukan hanya untuk memenangi kerusi semata-mata.
Kemudian pada 21 Sept, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata partinya mahu menjalin kerjasama pilihan raya dengan PH dan meletakkan “empat atau lima” calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kerusi Parlimen menggunakan tiket gabungan itu.
Katanya, PSM tidak bercadang menyertai PH sebagai parti komponen secara rasmi.