Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pictchay dilaporkan mendapat ancaman daripada pihak sindiket Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas Polis Kontinjen Johor memerangi aktiviti membawa masuk pendatang haram ke dalam negara ini.
Sebagai seorang anggota polis, beliau menganggap ancaman yang diterima olehnya adalah biasa sebagai seorang anggota penguatkuasa.
Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru semalam, belau menegaskan tidak akan sesekali tunduk dengan ancaman yang datang, malah akan terus memperhebatkan lagi gerakan untuk membanteras kegiatan itu.
“Memang ada usaha untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk ancaman diberikan. Ada menerusi WhatsApp, mesej dan Facebook juga.
BACA JUGA – 300 Pekerja Media Prima Terima Notis Tamat Perkhidmatan 31 Julai Depan
“Itu adalah lumrah. Apa yang penting kita berhati-hati dalam apa juga tindakan, kita berjaga-jaga dan yang selebihnya serah pada Allah. Selagi kita ikhlas berkhidmat, jangan takut. Kalau takut jangan jadi pegawai polis.
“Jadi guru, jadi wartawan pun ada yang terima ancaman. Itu biasa, jadi tuan-tuan jangan bimbang jangan takut,” katanya.
Sehingga waktu ini, Polis negeri Johor sudah menangkap lebih 20 orang pegawai dan anggota agensi penguatkuasa di negeri itu termasuk pegawai kanan polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pegawai Jabatan Imigresen kerana bersekongkol dengan pihak sindiket berkenaan menyeluduh masuk pendatang.
Ayob Khan berkata kekerapan operasi bersepadu mengatasi kegiatan penyeludupan manusia di Pantai Timur Johor kini menjadikan hampir 95 peratus kawasan itu kini bersih daripada kegiatan penyeludupan migran.
“Kita akan menumpukan pula usaha untuk melumpuhkan kegiatan sindiket imigran di Pantai Barat Johor pada masa ini, ” katanya.