Rentetan saman RM872 juta daripada Yayasan Sabah, Tan Sri Musa Aman kemudiannya menuntut Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membayar RM1 bilion kepada badan amal pilihannya.
Peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata Musa menuntut Mohd Shafie, Ketua Menteri Sabah dan juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah dan Jamalul Kiram Mohd Zakaria serta peguam Datuk Douglas Lind membayar wang itu kepada mana-mana badan amal pilihannya.
Selain itu, Musa menuntut surat permohonan maaf tanpa syarat kepadanya dan dihantar kepada peguam melalui faksimili serta e-mel selain menarik balik penyataan yang diragui (pendedahan mengenai pemfailan writ saman).
“Surat permohonan maaf dan penarikan balik penyataan tersebut haruslah diterbitkan di surat khabar, media sosial dan laman sesawang.
“Sidang akhbar harus diadakan sama seperti sidang akhbar yang berlangsung pada 19 Jun (semalam) dihadiri oleh para wartawan dari surat khabar dan media sosial yang mana surat permohonan maaf dan penarikan penyataan tersebut harus dibaca penuh kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, sehubungan itu semua pihak perlu menghentikan diri dari mengulangi kenyataan yang diragui.
Tuntutan tersebut perlu dipenuhi dalam tempoh 24 jam selepas ia dikeluarkan.
Dua hari lalu Pengarah Yayasan Sabah Jamalul Kiram memberitahu bahawa Yayasan itu telah menfail tuntutan terhadap Musa bagi mendapatkan kembali RM872 juta milik yayasan itu yang didakwa hilang disebabkan perjanjian yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan.
Musa, bagaimanapun menafikan sebarang perbuatan salah semasa menjalankan tugas sebagai pengerusi Yayasan Sabah (2003-2008) dan mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya sebagai mencurigakan dan palsu.