Aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan jalan utama termasuk jalan persekutuan dan negeri akan dipantau oleh 1,500 pegawai dan anggota trafik.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias menjangkakan peningkatan lalu lintas sempena balik kampung selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membolehkan pergerakan rentas negeri.
“Kami menjangkakan jumlah kenderaan yang lebih tinggi bergerak dari Lembah Klang ke sebelah Utara, Pantai Timur dan Selatan tanah air esok (Jumaat) hingga Ahad ini.
“Selepas larangan perjalanan rentas negeri ditarik, kita berpendapat lebih banyak kenderaan akan bergerak di jalan raya hujung minggu ini,” katanya memetik laporan BH.
Menurut Azisman, JSPT akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan trafik, termasuk memandu melebihi had laju, penggunaan lorong kecemasan dan memandu dalam keadaan mabuk.
“Walaupun ada kebimbangan bahawa kemalangan jalan raya akan meningkat, kita akan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan yang perlu dalam mengawasi dan memantau keadaan lalu-lintas.
“Kita mahu semua orang sampai ke destinasi mereka dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Kita juga berharap orang ramai akan bekerjasama dan tidak memandang remeh mengenai keselamatan jalan raya,” katanya.