Pasangan Berjauhan Kini Dibenarkan Rentas Negeri – Ismail Sabri

Pasangan suami isteri yang berjauhan, kini dibenarkan semula untuk merentas negeri bermula 1 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara tersebut diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini setelah mendapat nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perjalanan merentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi urusan kerja dan kes-kes kecemasan seperti kematian atau perubatan,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini membenarkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing setelah mendapat kebenaran daripada polis.

Bagaimanapun, melalui sidang media pada 21 Mei lepas, hanya beberapa hari sebelum 1 Syawal, Ismail Sabri berkata, perjalanan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

Ismail Sabri berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada institut memandu dan latihan serta proses pelesenan pemandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang bermula 1 Jun ini.

Katanya JPJ juga telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antaranya pemeriksaan suhu, nyahkuman di luar dan dalam kenderaan pada setiap masa sebelum dan selepas digunakan dan memastikan kapasiti ada penjarakan sosial serta pengajar dan pelajar dipastikan memakai pelitup muka,” jelasnya.

Ditanya mengenai tindakan kelab malam membuat promosi di laman sosial Instagram, Ismail Sabri menegaskan buat masa ini masih tiada kebenaran untuk kelab malam beroperasi.

“Mana yang buka itu dianggap sebagai melanggar peraturan dan saya harap pihak polis dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera untuk memastikan kelab-kelab malam tersebut ditutup kerana melanggar akta dan undang-undang,” katanya.

Mengenai operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata semalam pihak polis telah menahan 114 individu atas kesalahan ingkar PKPB dan daripada jumlah itu, 108 orang direman, manakala enam orang lagi dijamin.

Selain itu, katanya seramai 471 individu dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB dengan 76 kompaun daripadanya dikeluarkan di sekatan jalan raya dan seorang individu atas kesalahan ziarah Aidilfitri.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles