Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melancarkan Kempen Cahayakan Biru di sekitar bangunan di Wilayah Persekutuan sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan wabak Covid-19 ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kempen empat hari itu akan bermula kira-kira jam 10 malam pada 30 April ini sesuai sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei.
Katanya, biru dipilih berdasarkan warna petugas perubatan.
“Petugas barisan hadapan bukan sahaja dalam kalangan petugas perubatan tetapi warna yang kita pilih berkaitan perubatan kerana negara sedang memerangi virus iaitu antara aspek dalam bidang itu,” katanya melalui siaran secara langsung Facebook hari ini.
Tan Sri Annuar ketika bercakap di Facebook itu mahu masyarakat mengambil bahagian dalam kempen itu untuk menyalakan lampu biru.
Beliau turut memberitahu bangunan utama di pusat bandar seperti Saloma Link, Menara Berkembar Petronas dan Menara One KL memasang lampu pada 30 April.
Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia turut dijemput untuk bersama memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
“Ini juga merupakan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di seluruh dunia kerana masalah ini merupakan pertarungan yang dilalui rakan-rakan kita di negara lain,” katanya.