KUALA LUMPUR: DAP didakwa mula berasa resah dan gelisah melihat sebarang usaha muafakat serta perpaduan dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.
Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said menegaskan, parti berkenaan sedar sekiranya orang Melayu bersatu padu, kedudukan dan kuasa politik mereka akan terjejas.
”Sebenarnya yang paling takut… tok-tok guru itu hanya alat sahaja tuan-tuan. Yang paling takut kepada apa yang dibuat oleh Presiden hari ini adalah DAP.
”DAP mula rasa resah gelisah. Mereka tak boleh tengok bagaimana muafakat Melayu itu berlaku kerana apabila Melayu bersatu, nescaya mereka tidak akan berkuasa lagi dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi mendakwa pelbagai taktik dan strategi digunakan oleh pihak luar serta agen tertentu bagi memecahbelahkan perpaduan kaum majoriti itu.
Beliau turut mengingatkan para perwakilan agar berhati-hati dengan sebarang bentuk provokasi yang cuba melaga-lagakan pemimpin serta umat Islam, sama ada daripada UMNO mahupun Pas.
”Percayalah tuan-tuan dan puan-puan, mereka datang lagi bukan untuk menumbangkan kerajaan ini, tetapi datang untuk memecahbelahkan kesatuan Melayu Islam ini. Jadi kita kena berhati-hati.
”Bukan mustahil apabila nanti ada pemimpin-pemimpin Melayu Islam sendiri… tak kiralah daripada Pas atau UMNO yang tidak suka melihat kepada permuafakatan ini kerana akan datang manusia-manusia yang tidak mahu melihat kita bersatu kerana mereka ingin terus berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, semakin lama umat Melayu menangguhkan usaha perpaduan, semakin kuat tekanan dan asakan yang diterima untuk memecahbelahkan mereka kembali.










