Kajian Merdeka Center mendedahkan kepercayaan pengundi terhadap hala tuju negara mulai pudar pada tahun lalu dengan rasa tidak puas hati terhadap ekonomi dan ketidaktentuan politik sebagai penyebab utama utama.
Laporan badan pemikir mengenai perkembangan dan haluan politik Malaysia mendapati 61% rakyat yang dikaji pada Nov lepas percaya negara berada di landasan yang salah dan hanya 26% berpandangan sebaliknya.
Daripada jumlah itu, 23% responden berkata kebimbangan berkait hal ehwal ekonomi seperti keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi adalah faktor utama mereka berpandangan sedemikian.
“Keyakinan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menguruskan ekonomi terus merosot, terutama sekali apabila ia melibatkan perbincangan mengenai perbelanjaan kerajaan, penjualan aset dan ketidakpastian mengenai inisiatif infrastruktur awam yang dicadangkan (pemansuhan jalan bertol sebagai contoh).
“Pengumuman inisitaif Kemakmuran Bersama Wawasan 2030 tidak dapat menahan kemerosotan itu,” menurut laporan itu.
Sementara itu, 16% responden juga menyebut bahawa masalah polarisasi kaum sebagai punca negara hilang arah, sementara masalah pentadbiran dan kepimpinan kerajaan yang lemah disebut oleh masing-masing 14% dan 13% responden.
Dari aspek politik, badan pemikir itu berkata, politik Malaysia kini dipacu oleh isu peralihan kuasa perdana menteri dan kestabilan kerajaan bagi menghadapi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Kajian itu juga mendapati tahap penerimaan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menurun dengan ketara dalam kalangan pengundi India dan Cina, walaupun beliau mengekalkan sokongan pengundi Melayu secara konsisten sebanyak 58%.
Manakala individu yang disebut-sebut sebagai penggantinya, Anwar Ibrahim hanya mendapat sokongan 13% pengundi Melayu.
Bagaimanapun, tahap penerimaan terhadap Anwar dalam kalangan pengundi India dan Cina meningkat antara Julai hingga Nov tahun lepas, iaitu daripada 23% kepada 62% dalam kalangan pengundi India, berbanding 18% ke 58% dalam kalangan pengundi Cina.